Klik di sini....

Wednesday, December 21, 2011

prosedur Visa ke UK

Alhamdulillah, ada seorang rakan yang sangat rajin buat catatan berkenaan ini. Nak letak kat sini supaya senang nak rujuk.

Blog Hafizah (sila klik).

Borang APPENDIX 8 boleh dicapai dari sini.

Kelmarin dah dapat sijil ATAS. Kena tunggu CAS dari universiti sebelum boleh buat permohonan visa. Ya Allah, permudahkanlah urusan permohanan visa. Amin!


Monday, December 12, 2011

ATAS clearance

ATAS adalah singkatan kepada Academic Technology Approval Scheme. Sijil ATAS diperlukan bagi pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke UK sebelum dibenarkan untuk memohon visa pelajar. Tetapi, tidak semua program pengajian memerlukan sijil ATAS. Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman web Foreign & Commonwelth Office.

Saya dah memohon sijil ini pada awal bulan November. Pada akhir bulan November, saya menerima email yang beberapa maklumat tidak mencukupi untuk permohonan saya diproses. Selepas mendapat maklumat yang dikehendaki dari universiti di UK, saya terus email maklumat yang diperlukan pada 30 November.

Kelmarin saya dapat email ni:

Dear Applicant,
 
Thank you for your email.
 
Your application has been amended. Please allow up to 20 working days to receive the outcome of your application. Unfortunately, we cannot specify an expected date for the outcome of your application.
 
Regards
 
The ATAS Unit
Foreign & Commonwealth Office

Status sekarang, saya masih menunggu keputusan permohonan ATAS. Ya Allah, permudahkan urusanku ini... amin!


Semakan SLAB/SLAI

Alhamdulillah, tak putus kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa di atas nikmat yang dikurniakan-Nya. Satu lagi impian saya telah dimakbulkan. Hari ini, dengan rasminya saya telah menerima surat tawaran Hadiah Latihan Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI). Terima kasih Ya Allah!

Rupanya keputusan SLAI boleh disemak secara atas talian di laman web KPT. Dengan memasukkan nombor kad pengenalan pemohon, permohonan boleh disemak sama ada berjaya atau tidak.

Hati berbunga setaman apabila skrin berikut dipaparkan.


Maka, bermulalah episod kehidupan baru bagi saya dan keluarga pada tahun depan. Banyak perkara perlu diuruskan dalam 3 minggu yang masih berbaki. Semoga perjalanan ini mendapat keredhaan dan keberkatan dari-Nya.

Doakan kejayaan buat saya :), Insya Allah!


Sunday, December 11, 2011

tanda tangan

Sebelum ni, saya dah terfikir nak letak tanda tangan @ signature dalam blog ni. Kebetulan jumpa satu laman yang menyediakan tandan tangan untuk diletak dalam blog secara percuma. Siapa yang berminat, jom terjah ke

"My Live Signature".

Langkah-langkah:
1. Klik pada "Click Here To Start".
2. Pilih "Using the signature creation wizard".
Kemudian ikut satu persatu arahan daripada "wizard" yang digunakan.

Tak samapai satu minit, tanda tangan digital anda telah tersedia untuk diletakkan dalam blog.

Selamat mencuba :)

Thursday, December 8, 2011

Nasi tumpang

Ia adalah salah satu ikon juadah negeri Kelantan. Saya ada salah seorang peminat setianya. Masih teringat, masa megandungkan anak kedua, Aisyah, saya selalu mengidamkan untuk sarapan dengan nasi tumpang ni.

Semasa Hari Raya korban bulan lepas, saya berpeluang makan nasi tumpang. Sangat bertuah rasanya dapat menjamu hidangan yang sangat sukar untuk dicari. Maka, dapatlah saya rakamkan beberapa gambar untuk dikongsikan dalam blog ni.

 nasi tumpang ni diisi dalam kelongsong daun pisang
 nyum... nyum...
 nasi yang dilapis dengan lapisan lauk
 ada telur dadar, sambal daging, udang dan ikan aye

Saya peminat nasi tumpang... anda bagaimana?

Tuesday, December 6, 2011

setuju!!!

Hari ni nak kongsi satu artikel.
Sangat setuju dengan apa yang telah diulas. Matematik bukan setakat tahu, yang lebih penting adalah faham. Bila seseorang pelajar dah tahu sesuatu istilah, itu tidak lagi mencukupi. Dia mesti faham macam mana hendak mengaplikasikan apa yang dia telah tahu.

Pemikiran kritikal sangat perlu apabila menyelesaikan permasalahan matematik. Seorang pelajar yang tahu dan dapat menghafal semua formula matematik belum tentu dapat menyelesaikan permasalah matematik dengan baik. Idea di sebalik teori dan konsep yang telah dipelajari sangat penting. Tanpa pemahaman konsep yang baik, ia berupaya menggugat markah seseorang pelajar.

Saya teringat dengan suatu majlis penyampaian hadiah di sekolah anak saya. Wakil rakyat tersebut sangat memuji sistem PPSMI yang dianggap sangat berjaya. Alasan yang diberikan "Belajar matematik menjadi lebih senang dalam bahasa Inggeris!".

Contoh yang diberikan oleh wakil rakyat terbabit:
Dalam bahasa Melayu (BM), untuk menyebut SATU, ia adalah dua suku kata (SA - TU). Tapi dalam BI, hanya satu suku kata sahaja iaitu ONE. Kalau sebut SE-PU-LUH pula, tiga suku kata dalam BM. Tapi BI cuma satu suku kata sahaja, TEN. Maka, tuan-tuan fikirkan, berdasarkan contoh tadi, BM atau BI yang lagi bagus untuk belajar Matematik? Sebab itu anak-anak kita seronok belajar Matematik dalam BI.

Oh, saya sangat terpukul dengan contoh yang diberikan. Sungguh singkat pemikiran penceramah tersebut. Inilah akibatnya apabila pendidikan anak-anak juga dicampuri oleh orang politik yang singkat pemikiran.

Pada pandangan saya, mengajar dalam bahasa ibunda menjadikan perkara yang diajar lebih dekat di hati. Lagi senang nak terangkan konsep dan lagi mudah pelajar nak faham. Bila diajar dalam BI, pelajar lebih cenderung untuk menghafal berbanding memahami. Bila mereka menghafal tanpa memahami konsep, pelajar tidak dapat mengembangkan daya pemikiran kritikal dengan baik. Dapat soalan yang diubah sedikit dari kebiasaan latih tubi, terus tak dapat jawab dengan baik. Inilah produk yang kita dapat daripada PPSMI.

Bahasa boleh dikuasai dengan penggunaan. Language is usage. Lagi banyak kita menggunakan BI dalam rutin seharian, lagi cepat kita boleh menguasai Bahasa Inggeris. Percayalah!

Tuesday, November 29, 2011

Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur


Ini adalah tempat saya menjalani BTN pada 17-22 November 2011. Tempoh kursus selama 5 hari 4 malam dirasakan berlalu dengan pantas sekali. Kursus ini tidak lagi dipanggil kursus kenegaraan tetapi telah dijenamakan semula kepada "Program Transformasi Pegawai Ke Luar Negara (Master/PhD dan sub-Kepakaran)".

Modul baru yang digunakan, pada pendapat peribadi, saya sangat relevan. Dua hari pertama, slot wacana ilmu banyak membincangkan isu yang memberikan banyak manfaat kepada diri saya. Slot yang saya paling gemari ialah slot yang membincangkan budaya ilmu. Insya Allah, jika berkesempatan saya akan kongsikannya di blog ini pada catatan yang akan datang.

Dua hari yang seterusnya pula diisi dengan slot Diskusi iaitu melibatkan perbincangan dalam kumpulan atau lebih dikenali sebagai Latihan dalam kumpulan (LDK). Pengisian semasa LDK lebih menumpukan kepada isu-isu semasa dalam negara. Ia membuatkan saya sedar, Oh, banyak yang saya tidak tahu tentang apa sedang berlaku dalam Malaysia.

Hari yang terakhir pula adalah hari ujian. Soalan objektif sebanyak 60 soalan harus diselesaikan dalam masa satu jam 30 minit. Yang menariknya tentang ujian, ia adalah open book. Boleh buka buku semasa ujian. Ia berjaya membantu saya siapkan ujian dalam masa 50 minit.

Terasa sangat bertuah dapat mengikuti BTN di akademi ini. Selain daripada menu yang sedap setiap kali waktu makan, bilik penginapan juga sangat memuaskan. Setiap pegawai diberi satu bilik untuk setiap orang. Satu apartment mempunyai 3 bilik. Setiap aparment mempunyai dua tandas dan dua bilik air.

Tuesday, November 15, 2011

Ujian 1 MTK 3100

Ujian 1 telah diadakan pada 13 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis bertempat di Dewan Syed Jalaludin (DSJ). Sudah sebulan lebih Ujian 1 berlalu. Baru separuh skrip jawapan yang berjaya disemak. Akan cuba seboleh mungkin untuk menyiapkan proses penandaan sebelum menghadiri BTN pada hari Rabu ini.


Begitu tekun pelajar menjawab soalan. Untuk Ujian 1, masa yang diperuntukkan hanya 50 minit yang memberikan sebanyak 40 markah. 20% akan diambil untuk penilaian keseluruhan kursus.

Disebabkan bilangan pelajar yang ramai (195 org), agar sukar untuk mencari bilik yang besar untuk diadakan ujian dengan lebih selesa. Ditambah pula dengan faktor kekangan kelas yang sentiasa penuh di waktu malam, saya membuat keputusan untuk mengadakan ujian semasa waktu kuliah.

Disebabkan kapasiti dalam DSJ yang hanya boleh menampung sehingga 250 org pelajar, adalah tidak mencukupi untuk pelajar duduk selang satu kerusi bagi menjarakkan pelajar dan mengurangkan kebarangkalian pelajar MENIRU.

Jadi saya telah menyediakan dua set soalan yang berlainan dengan harapan pelajar akan mendapat soalan yang berbeza dengan rakan di sebelah kiri dan rakan di sebelah kanan. Namun, kelihatan juga suasana seperti berikut:
Pelajar masih lagi berbincang dengan rakan selang satu kerusi. Untuk Ujian 2, saya harus memikirkan strategi yang berlainan pula untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.

Sunday, November 13, 2011

By'u Restaurant

Restoren ni terletak bersebelahan pejabat. Berhampiran dengan bangunan Annex. Ia bukannya dibuka setiap hari. Hanya setiap hari Khamis sahaja dapat menjamu selera di sini. Dan eksklusif untuk bulan November dan Disember ini sahaja. Harga yang ditawarkan amatlah berpatutan.

Sebenarnya restoren ini adalah milik Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM), UMT. Ia adalah tempat latihan pelajar program makanan untuk memasak dan belajar tentang tatacara untuk menghidangkan makanan. Menu ala' carte yang disajikan sangat mengujakan. Juga lain dari yang lain. Khamis lepas, saya pesan menu berikut:
Golden pouch

Dragon fruit soda

dan Moist Chocolate Cake (tapi tak sempat nak snap gambar). Semuanya memang sangat enak. 

Lain kali nak cuba air ni pula...
Blended Tapai Lychee.... rasa masam tapai dan laici sangat harmoni untuk dinikmati. Kepada yang belum cuba, jom kita ke sana lagi pada hari Khamis ni :)

Wednesday, November 9, 2011

status: "KIV"

Sebenarnya saya dah dapat berita ni dua minggu lepas. Langsung tiada mood nak tulis dalam blog ni. Tapi bila ramai lagi rakan seperjuangan yang masih lagi bercuti sempena raya kurban, tiba-tiba mood untuk menulis datang menerjah.

Pertama kali dikhabarkan berita bahawa permohonan cuti belajar (CB) saya dalam status "KIV" - sebab belum hadiri BTN - rasa terkilan juga. Apa yang membuatkan saya terkilan adalah disebabkan pihak KPT hanya memaklumkan perkara tersebut selesai mesyuarat bulan Oktober. Kenapa tidak diberitahu sebaik sahaja pihak KPT menerima permohonan saya yang tidak lengkap itu?

Tetapi, saya cuba memujuk diri sendiri - mungin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Saya cuba minta pendapat daripada Urusetia CB. Tapi, memang dah tiada apa yang boleh dilakukan.

Kemudian saya cuba minta penjelasan dari pihak KPT dan telah mendapat email seperti berikut:
"Keputusan mesyuarat bil. 8 tahun 2011 telah membuat keputusan bahawa hanya pencalonan yang lengkap sahaja dibentangkan dan saya telah maklumkan kepada semua IPTA sejak bulan Ogos lagi."

Maka benarlah, ia merupakan polisi terbaru KPT. Saya terpaksa akur dengan keputusan. Sebelum ni, ramai rakan yang sedang CB menyarankan agar pergi ke BTN setelah mendapat kuota dari KPT. Kalau tak hanya membazir tenaga, dan  wang menghadiri BTN andaikata kuota tidak diberi untuk meyambung pengajian di luar negara.

Sekarang, saya harus menasihatkan staf yang ingin cuti belajar supaya menghadiri kursus BTN dahulu sebelum mengemukakan permohanan ke urusetia cuti belajar. Lepas lulus IELTS (sekurang-kurangnya band 6.5), mesti terus daftar untuk hadiri BTN. Saya juga telah mencadangkan agar pihak Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menambahbaik sistem e-Cube dengan memasukkan BTN dalam senarai semak cuti belajar (agar tidak terlepas pandang keperluan BTN.)

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk staf yang sedang berkira-kira untuk menyambung pengajian di luar negara. Ingat, BTN adalah komponen yang sama penting dengan IELTS!  (^___^)

Tuesday, November 1, 2011

lagi lagu kegemaran :: UKAYS


Di dalam hidup kita seharian
Ada persamaan inginan
Mencari harta sebanyak mana
Masa terdaya

Bila mentari menyuluh bumi
Kita pun bangkit dari mimpi
Menyambung semula pencarian
Terhenti semalam

Kepuasan terpancar jelas
Bila yang dimimpi terbukti
Dengan kekayaan yang dimiliki
Masih tidak lagi mencukupi

Memang begitu sikap manusia
Tidak puas dengan yang ada
Seolah harta di dunia
Bisa bawa ke sana

Kita terlupa harta yang nak di bawa
Amalan seharian itu yang pasti harus di hati
Sudah terlewat bila tubuh terbujur kaku
Tidak berfungsi... di saat itulah
Terlihat semua di mana
Tempat kita...

Harus diingat... kita hanya musafir
Yang didatangkan... hanya sementara
Menghunikan alam
Dan pasti akan dijemput... untuk pulang
Di jemput pulang
Penuh dengan maksud tersirat. Amat indah bila dihayati dengan mata hati.

Ia mengingatkan saya kepada satu slot di ruangan IKIM oleh seorang ustaz  (maafkan saya, ustaz yang mana saya dah lupa). Beliau menyatakan ada dua benda yang manusia tidak akan cukup sampai bila-bila.

Pertama, AKAL. Ilmu yang kita ada baru setitik dari lautan ilmu di dunia ini. Oh, alangkah kerdilnya diri ini. Oleh itu, kita digalakkan untuk mencari ilmu sebanyak mungkin hinggakan ada pepatah menyebut, "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China".

Dalam dunia akademik, kita digalakkan untuk membanyak sebanyak mungkin penerbitan akademik. Kadang-kadang, semakin saya banyak membaca, semakin kerdil terasa diri. Maksudnya, banyak lagi benda yang saya tak tahu rupanya. Yang paling indah, ia menjadikan kita lebih dekat kepada Yang Maha Pencipta. Hanya  Dia Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Kedua, NAFSU. Kalau nak ikutkan nafsu ini, tentu sekali manusia akan tewas. Yang paling sedih adalah manusia yang tidak mampu menundukkan nafsunya. Dengan kata lain, manusia yang be'Raja'kan nafsu adalah sebenarnya manusia yang telah tewas oleh ujian dunia. Di sini kita harus bijak membezakan di antara keperluan atau keinginan.

Bila dah ada kereta, nak ada kereta yang lagi selesa. Bila dah ada jawatan, nak dapat jawatan yang lebih tinggi hingga sanggup menikam rakan sendiri dari belakang. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang tewas ini, Insya Allah.

"Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku seorang hamba yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan-Mu, Amin...".

Sunday, October 16, 2011

Ukays :: Bila Purnama Mengambang


Berkat dari kesungguhan
Terbentuklah kejayaan
Ku merasa oh nikmatnya
Bersyukur tak terhingga
Dengan pemberiannya
Hidup aku sekarang ceria

Dahulu aku tewas
Tiada siapa peduli
Dan yang memedihkanku
Insan yang ku sayang pun berlalu

Hilang semua rasa benci
Melangit ku di puji
Menjelma semua saudara
Walau dulu penah sengketa
Kini ke depan bertanya berita

Begitulah kehidupan
Bak purnama mengambang
Memuja bila terang
Hilang bila dilindungi awan
Tak siapa lagi memandang

Dahulu ku tersisih sendiri
Tanpa oh kekasih
Kini tak terbilang menjelma
Tidak tergoyang keimanan ini sayang
Walau selautan kasih yang engkau janjikan kepadaku itu tidak ikhlas
Inginku ketepikan rasa cinta pada seseorang
Kerna bimbang hilangnya setia bila mana hidup aku sudah tidak lagi ceria

Yang lebih utama terus membuktikan kukuh kedudukan usung kejayaan

Lagu yang mempunyai pengertian yang sangat mendalam. Ini adalah lagu favourite saya suatu ketika dulu (dalam tahun 1994). Ia membantu memberi motivasi yang tinggi setiap kali mendapat markah peperiksaan yang tidak memberangsangkan walaupun ia bukan dalam konteks mempunyai kekasih :)

Saya paling suka rangkap terakhir (yang bold itu). Lagi tinggi kejayaan yang dikecapi, kita akan lebih merasa bahagia. Yang penting, bahagia yang dikecapi tentu sekali dapat dikongsi bersama orang yang kita sayang seperti keluarga, khususnya ibu bapa. Kalau dulu, saya cuba memberi yang terbaik untuk membanggakan kedua ibu bapa.

Masih saya ingati, saya pernah ditugaskan untuk membalut hadiah kepada ibu bapa yang anak-anaknya cemerlang dalam peperiksaan. Masa tu tahun 1995, iaitu saya berada dalam tingkatan empat. Saya berazam, pada tahun seterusnya (iaitu 1996) saya sangat teringin agar ibu bapa juga menerima hadiah yang sama dan Alhamdulillah, ianya telah manjadi kenyataan.

Friday, October 14, 2011

Bicara Pendidik dalam P&P

Pagi tadi saya menghadiri Bicara Pendidik: Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan penceramah jemputan dari UTM iaitu Tn. Hj. Yahya Samian bertempat di Dewan Jamuan, DSM. Kehadiran ke bengkel tersebut amat menggalakkan.

Secara peribadi, saya sangat menyukai personaliti yang dipanggil. Dari cara dia mengendalikan ceramah kepada ilmu yang telah beliau kongsikan bersama, cukup membuka minda dan emosi.

Slaid pertama beliau cukup saya kagumi atas sifat rendah diri yang ditunjukkan oleh penceramah. Slaidnya berbunyi seperti berikut:

Apa yang ingin saya kongsikan bersama dalam bicara ini...
Hanyalah sekadar secebis kisah dari pengalaman seorang insan yang telah ditakdirkan menjalani sebahagian kehidupannya sebagai pendidik di sebuah IPTA.

Beliau juga turut mengingatkan peserta supaya, andai kata timbul sedikit perasan riak (contohnya: bijak juga aku ni.... atau.... budget bagus dgn ilmu yang dimiliki) supaya cepat-cepat beristighfar dan berdoa kepada Allah supaya kita sentiasa dilindungi daripada perasaan tersebut.

Beliau banyak berkongsi penagalaman P&P sepanjang beliau berkhidmat sebagai pensyarah (hampir 30 tahun) di IPTA. Saya juga tertarik dengan kata-kata, "Memberi itu lebih membahagiakan diri kita dari mengambil". Bila kita banyak memberi tanpa mengharapkan balasan, Insya Allah, ganjaran yang dijanjikan oleh-Nya adalah jauh lebih besar daripada ganjaran yang dijanjikan oleh manusia. Tapi, ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan oleh manusia kerana kita tidak nampak anugerah yang diterima secara mata kasar. Contoh terbaik yg diberikan adalah nikmat kesihatan yang kita perolehi.

Walaupun telah mengikuti beberapa siri bengkel berkaitan Outcome Based Education (OBE), saya masih lagi keliru untuk mengaplikasikannya dalam P&P. Tetapi setelah menghadiri bengkel ini, saya rasa lebih terbuka untuk menggunakan OBE dalam P&P. Beliau telah berjaya merungkaikan beberapa kekusutan yang timbul sebelum ini terutama sekali cara yg perlu digunakan apabila melibatkan bilanagan pelajar yang ramai (pelajar saya 193 orang).
Contoh yang diberikan adalah "Active Learning". Kita boleh menyuruh pelajar membuat "student reflection" setiap kali selesai kuliah untuk menguji sejauh mana pemahaman pelajar semasa kuliah.

Kaedah yang lain adalah Co-operative Learning. Tapi method ni macam tak berapa sesuai nak apply untuk kelas yang besar :)

Thursday, October 13, 2011

lulus JKCB

Alhamdulillah, bila check e-Cube, keputusan JKCB (minggu lepas) adalah diluluskan.
Next stage, kena tunggu approval dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Mesyuarat KPT dijadualkan pada akhir bulan ini. Exact date, tak tahu lagi.

Sekarang kena concentrate on tugas pengajaran. Kena settle soalan Ujian 1, Ujian 2 dan Peperiksaan Akhir secepat mungkin sebelum dihimpit oleh urusan sambung belajar.

Tuesday, October 11, 2011

status kini

Ini status terkini cuti belajar yang dipaparkan dalam e-Cube.

Minggu lepas, dah masuk JKCB. Keputusan untuk JKCB masih belum dipaparkan. Biasanya peringkat UMT memang tiada masalah. Proposal "ship hull design" seolah-olah menarik perhatian ahli panel dalam JKCB. Mungkin disebabkan ia merupakan salah satu niche area UMT. Harapnya ia juga bakal menarik perhatian pihak KPT.

Dokumen untuk dihantar ke KPT kena submit sebelum 13 Okt ni. Semuanya telah diserahkan kepada urusetia cuti belajar. Mungkin lepas tu akan menyusul mesyuarat peringkat KPT pula. Semoga semuanya adalah seiring dengan perancangan. Lagi pun masa yang tinggal  untuk membuat persiapan dah tak lama. Berbaki dalam dua bulan lebih jer.

Sunday, October 9, 2011

let's change our habits and follow the sunnah

Jumpa ni dari Wall facebook Ustaz Zamri. Terpanggil untuk kongsikan bersama pembaca semua dan sebagai peringatan untuk diri sendiri juga :)

Thursday, October 6, 2011

selesai JKCB

Alhamdulillah, temuduga oleh Jawatankuasa Cuti Belajar (JKCB) telah selesai. NC tidak hadir semasa mesyuarat kerana berada di Pulau Bidong. Tempat beliau diambil alih oleh TNC akademik, iaitu Prof Noor Azhar.

Bilangan calon yang memasuki JKCB pada kali ini adalah seramai 7 orang dan tiga daripadanya adalah daripada FST (termasuk saya). Kami (FST) adalah kumpulan pertama yang dipanggil untuk temuduga. Saya berada di giliran yang ketiga. So sempat lagi menenangkan diri sebelum disoal oleh ahli panel.

Terasa lega bila semua soalan yang disoal oleh ahli panel dapat dijawab dengan baik, Alhamdulillah, bersyukur sangat kepada-Nya kerana mengurniakan kelancaran lidah untuk berbicara. Lepas ni, kena tunggu keputusan KPT pula. Harapnya, masih ada rezeki kuota untuk saya tahun ini, Insya Allah :)

Wednesday, October 5, 2011

tahniah, Ten!

Tumpang bangga bila tengok bekas pelajar yang masuk surat khabar. Memang sangat kagum dengan Ten Wei Peng. Walaupun salah satu tangannya tidak dapat berfungsi dengan baik, tapi beliau seorang pelajar yang sangat rajin. Pada majlis konvo lepas, Ten Wei Peng telah berjaya memperoleh MSc Matematik secara penyelidikan dalam masa setahun.


Semasa Ten meminta saya untuk menjadi pengadil bagi menyambung pengajian peringkat PhD. Saya menyarankan agar Ten mengambil skim MyPhD tetapi Ten berpendapat dia nak kerja sambil belajar. Sekarang baru saya tahu kenapa Ten perlu kerja sambil belajar. Dia adalah anak sulung dan ibunya sedang menderita kanser ovari. Kesusahan hidup yang dialami Ten menjadikannya seorang yang sangat tabah walaupun bergelar OKU.

Tuesday, October 4, 2011

Filem Hantu Racun Minda?

Tajuk utama Berita Mingguan kelmarin. Bila baca tajuk berita, sangat tertarik untuk baca berita seterusnya. Ni keratan akhbar  tersebut.
Secara peibadi, saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Tun. Semenjak dua menjak ni, kemunculan filem seram semakin menjadi-jadi. Pengeluar filem lebih ghairah mengejar keuntungan tanpa menghiraukan kesan negatif daripada filem seram tersebut.

Tapi itu bukan isu utama yang diperkatakan oleh Tun. Semasa ucapan beliau, Tun menggalakkan para graduan supaya mempunyai minda sebagai seorang penyelidik terutama sekali penyelidikan secara saintifik. Sebagai seorang penyelidik, beliau menyarankan supaya kita sentiasa berfikir tentang cara untuk menghasilkan ciptaan atau kajian yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan kita seharian. Tun memberi contoh dari segi komunikasi. Bagaiman cara komunikasi 30 tahun dahulu telah berubah dan kini, kita boleh berinteraksi bila-bila masa dengan sesiapa di mana jua.

Apa yang saya cukup kagum dengan ucapan Tun adalah beliau langsung tidak mencampur aduk penggunaan bahasa BM-BI. Dengan kata mudah, beliau tidak menggunakan bahasa rojak. Beliau memberi ucapan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Semasa ucapan, Tun terdiam seketika. Rupanya-rupanya beliau sedang mencari maksud "hanset". Ucapan diteruskan apabila beliau dah jumpa istilah tersebut iaitu telefon bimbit!

Sunday, October 2, 2011

konvokesyen ke-9 UMT

Dua hari berturut-turut (1-2 Okt 2011), UMT mengadakan pesta konvokesyen untuk meraikan para pelajar yang telah menamatkan pengajian. Sebagai pensyarah, saya juga meraikan kejayaan pelajar yang berjaya memperoleh segulung ijazah dengan menghadiri perarakan akademik.

Terasa sangat seronok dapat melihat wajah ceria para graduan dan wajah gembira para ibu bapa tatkala dapat melihat anak yang dididik sedari kecil telah berjaya bergelar seorang siswazah. Semasa persembahan koir berlangsung, ada ibu bapa yang mengalirkan air mata. Bukan air mata kesedihan, yang pasti ia adalah air mata kegembiraan!

Jom tengok video ni. Walaupun ini bukan video terkini, tapi cukup bermakna untuk dihayati oleh semua.
Masa kali pertama dengar lagu ni, memang meremang bulu roma. Suara mereka sangat mersik dan sungguh menyentuh kalbu. Tapi ni video tahun 2009. Ramai pelajar dalam kumpulan koir ni dah berada dalam tahun tiga. Rasa sekejap jer masa berlalu. Tahun depan, mereka pula yang akan berada di kerusi graduan untuk menerima Ijazah!

Sunday, September 25, 2011

bengkel pemikiran kritis

Hari Khamis lepas, saya menghadiri bengkel Pemikiran Kritis dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Seharian menyertai bengkel agak berbaloi dengan input yang diperolehi. Sambil dapat merehatkan diri seketika dari dihantui PhD proposal yang masih belum siap hingga ke hari ini.

Bengkel anjuran PKPA ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan walaupun diadakan di luar kampus, iaitu di Hotel Permai Inn. Penceramah yang dijemput hadir iaitu Prof. Dr Fatimah dari UM telah cuba menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Sebagai peserta, apa yang boleh diaplikasi mungkin boleh dipraktiskan semasa P&P.

Wednesday, September 14, 2011

Sony Nex-C3

Bila buka blog anak-anak, tertengok iklan kamera kat iklan nuffnang. Tangan dengan ringannya terus klik kat iklan tu. Oh tidak, hati seolah- olah meronta nak memilikinya satu - kamera Sony Nex-C3. Baru jer berada di pasaran pada Ogos lepas.

Dah lama simpan hasrat nak memiliki DSLR tapi kalau beli satu tapi kalau tak pandai guna, tiada faedah juga. Tak pandai guna tu satu hal, nak mengangkut ke hulu ke hilir tu pulak satu hal. Sebab tu saya lebih selesa memiliki kamera compact yang dapat simpan dalam hand bag. Sentiasa boleh dibawa ke mana sahaja :)

Ni gambar yang saya dapat dari en. google dan juga spesifikasi kamera tersebut:

Sony NEX-C3 specification highlights:


  • Revised 16.2MP CMOS sensor
  • ISO 100-12800
  • Creative Control results-orientated user interface
  • Picture Effects processing options
  • 720p30 HD movies in MPEG-4 format
  • 921k-dot, tilt-angle LCD
  • Detachable flash unit included
  • 25-area AF system
  • 49-segment metering
  • 1/4000th - 30 sec exposure
  • ‘Peaking' function for manual focus assist
  • Manual, Auto+ and Photo Creativity control
  • Enhanced battery life (400 shots per charge)
Disebabkan kewangan masa ni belum mengizinkan, kena letak dalam wishing list dulu. Semoga dimurahkan rezeki untuk memiliki kamera ini, amin!

Sunday, September 11, 2011

tips PhD

Hari ni ada maljis sehari bersama jabatan sambutan hari raya UMT. So ada peluang untuk bersembang dengan rakan sekerja. Maklum aje la, kalau hari biasa agak susah nak jumpa apatah lagi bersembang sesama rakan sekerja.

Salah seorang rakan yang saya temui adalah Dr R yang baru pulang dari PhD. Saya mencungkil sedikit pengalaman beliau semasa menjalankan PhD. Beliau memberitahu bahawa part yang paling mencabar adalah menulis tesis.

Kata beliau, "Hidup mati balik pun, akak takkan tulis tesis PhD buat kali yang kedua." Huhuhu, agak tersentap juga bila mendengar pernyataan seperti ini. Tapi beliau dah laluinya. Tahun depan giliran saya pula. Nak tak nak, memang kena laluinya, kan?

Kemudian saya meminta pandangan Dr FN pula. Beliau dapat menghabiskan PhD dalam masa yang ditetepkan. Perkongsian Dr FN sangat menarik. Itu yang saya ingin coretkan pada hari ini. Sebagai pedoman di masa hadapan.

Tips pertama, mesti jumpa dengan supervisor (SV) setiap minggu. Ada progress ke, tiada progress ke, mesti jumpa SV sekurang-kurangnya seminggu sekali. Sekurang-kurangnya kita memaksa diri kita untuk mempunyai 'sesuatu' untuk dibincangkan dengan SV. Sekiranya ada masalah, boleh terus berbincang dengan SV.

Tips kedua, sentiasa menulis dari awal buat PhD supaya di akhir pengajian, kita cuma perlu compile sahaja apa yang telah ditulis. Bila tunggu akhir semester baru nak tulis, kemungkinan besar akan mengambil masa yang lama sebab kita mungkin dah lupa apa yang perlu ditulis!

Tips yang ketiga, jangan mengandung! Ini juga penting supaya kita boleh memberi tumpuan 100%.

Bagi saya ketiga-tiga tips di atas sangat berguna. Terima kasih kepada Dr FN atas perkongsian ini!

Thursday, September 8, 2011

pelajar baru

6 Sept 2011 lepas, pelajar baru telah mendaftar. Jumlah pelajar matematik (Matematik kewangan + matematik komputasi) setakat hari ini telah mencecah 181 orang. Fuhh, suatu jumlah yang agak besar dan paling tinggi berbanding pengambilan tahun-tahun sebelum ini.

Jumlah keseluruhan pelajar baru yang mendaftar di UMT pula sudah melebihi 2100 orang. Juga merupakan rekod pengambilan pelajar baru yang paling tinggi.

Minggu orientasi di UMT dikenali sebagi Minggu Jalinan Mesra atau singkatannya MJM. MJM berlangsung dari 6 - 10 Sept 2011. Pada 11 Sept pula akan berlangsung majlis sehari bersama jabatan.

Hari ni saya seharian berada di DSM. Sebelah pagi  menghadiri majlis sepagi bersama fakulti dan menghadiri majlis ikrar pelajar di sebelah petang. Seronok tengok muka pelajar baru yang sangat bersemangat dan ceria. Semoga semangat yang ditunjukkan kekal hingga ke akhir tahun pengajian, Insha-Allah :)

Wednesday, August 24, 2011

Majlis ilmu Prof Kamil

Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan untuk menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Prof. Kamil. Jika sesiapa pernah membaca buku Travelog Haji - mengubah sempadan iman, pasti menyimpan impian untuk bertemu dengan penulisnya, iaitu Prof Kamil.


Saya adalah salah seorang peminat bukunya dan pembaca setia blognya. Terasa sangat bertuah bila dapat mendengar pengakuan lisan secara jujur tentang bagaimana dia mendapat hidayah untuk berubah dan belajar untuk mengaji Quran dan dipermudahkan untuk mendapat guru mengaji.

Baru saya tahu, insan yang selalu mendoakan di sebalik perubahan tersebut adalah isterinya sendiri, iaitu Puan Roza. Dan tentu sekali orang yang paling bahagia dengan perubahan itu adalah isteri dan anak-anaknya.

Selepas raya aidilfirtri, Prof Kamil sekeluarga akan berhijrah ke Madinah. Beliau sempat berpesan, "Andai kata hadirin sekalian berkunjung ke Madinah, singgahlah ke rumah saya. Walaupun rumah saya kecil sahaja, tetapi jiwa saya cukup besar untuk meneriman kehadiran tuan tuan dan puan puan". Satu undangan yang cukup iklas keluar dari mulut Prof Kamil.

Di usia 39 tahun, Prof Kamil dah mendapat jawatan Professor kerana dia sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang beliau lakukan. Beliau juga ada berkata, "Nilai PhD hanya setahun. Lepas setahun orang mula menilai kita dengan hasil pasca PhD. Berapa banyak hasil penyelidikan, berapa banyak yang diterbitkan, berapa ramai pelajar yang diselia. Jadi janganlah berbangga sangat dengan PhD yang diperolehi", sebagai memberi peringatan kepada mereka yang belum mempunyai PhD. Rupa-rupanya itu adalah pesan supervisornya seperti yang diceritakan di sini.

Insya Allah, saya akan cuba yang terbaik untuk mengingati pesan Prof terutama sekali dalam menghadapi enam cabaran hidup (Anak, Harta, Pangkat, Bencana, Ilmu dan Kuasa).

Monday, August 22, 2011

tutup aurat

Dua tiga orang kawan post dialog ni di wall facebook.
Agak tertarik untuk tampalan di blog ni juga.

Adik : abg tahu tak bila perempuan yg TAK SUKA TUTUP AURAT mula menutup auratnya dgn sempurna?
Abg : masa haji kot adik,
Adik : salah...cuba teka lagi,
abg : masa kawin???
Adik : Salah jugak, teka la lagi
Abg : apa dia dik?? abg tak tahu la.
Adik : tadi ustazah cakap kat sekolah , perempuan yang tak suka menutup auratnya akan menutup auratnya dengan sempurna apabila dia DIKAFANKAN.. maka akan TUTUP BUAT SELAMA-LAMANYA.


Kesimpulannya, tutuplah aurat wahai wanita sebelum auratmu ditutupi untuk selama-lamanya :)

Monday, August 8, 2011

perkongsian SMS

SMS ini dikongsikan oleh Prof Dr Muhaya semasa slot beliau, Islam itu Indah di IKIM pada hari Rabu lepas (3/8/2011). SMS yang dikira menarik untuk dikongsi di dalam blog ini.

Hidup di dunia, bersyukur pada orang yang menyakitimu kerana dialah yang menabahkan hatimu.
Bersyukur pada orang menipumu, kerana dialah meningkatkan pengetahuanmu.
Bersyukur pada orang yang tidak mengendahkanmu, kerana dialah yang memupukmu untuk berdikari.
Bersyukur pada orang yang menjatuhkanmu, kerana dialah orang yang memperhebatkan kredibilitimu.
Bersyukur pada orang yang menyeksamu, kerana dialah orang yang menguji kesabaranmu.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya sekiranya kita fikir dari sudut positif. Teringat semasa zaman belajar di universiti apabila Prof Dr Muhaya mengulas tentang "Bersyukur pada orang yang tidak mengendahkanmu, kerana dialah yang memupukmu untuk berdikari". Beliau mengatakan yang beliau tidak mempunyai 'best friend' semasa belajar.

Saya juga sama. Saya memegang kata-kata seorang emak saudara ketika pertama kali berpisah dengan keluarga untuk mengikuti matrikulasi, "Kita mestilah memilih kawan. Biar kawan yang mengikut kita, jangan kita pula yang mengikut kawan." Jadi saya tidak kisah walau pun tidak ditemani best friend sepanjang masa. Ada juga yang memanggil saya 'lone ranger'.

Benar kata Prof Dr Muhaya. "Kita nak bahagia, tak perlu bersyarat". Tak perlu nak tunggu kawan untuk buat sesuatu. Apabila kita fokus, iaitu cuma mengharapkan redha Allah, ada kawan atau tiada, it doesn't matter.

Tapi jangan salah faham pula. Lone ranger bukannya kera sumbang. Saya masih mempunyai ramai kawan di hostel dan coursemate. Cuma dalam situasi tertentu, saya memilih untuk bersendirian. Sebagai contoh, kalau saya berminat dengan majlis ilmu yang dianjurkan, saya masih lagi memilih untuk menghadirinya walaupun berseorangan. Yang penting saya dapat ilmu walaupun tiada yang sudi meneman :)

Bulan puasa macam ni, menjadikan saya sangat merindui suasana tenang kampus USM, Pulau Pinang. Tibanya bulan puasa, perbelanjaan untuk makan minum tidak terusik sebab saya memilih untuk berbuka di masjid USM. Jimat kos untuk sebulan. Lepas berbuka boleh terus sembahyang Maghrib, Isyak dan terawih secara berjemaah. Indahnya detik itu masih terasa hingga sekarang :)

Thursday, August 4, 2011

video Prof Dr Muhaya

Prof Dr Muhaya adalah antara penceramah yang paling saya sukai dan kagumi. Setiap bait percakapannya mampu mengundang keinsafan dalam diri. Dengan kata lain, ia mampu memberi kesan di hati pendengarnya.

Jom temgok video ini: (Ramadhan 1 - Niat)

Petikan video: "Kalau kita niat sesuatu kerana Allah, hanya redha Allah dan bukan penghargaan manusia, semuanya akan berjalan dengan lancar dan kita akan redha ke atas semua keputusan yanh kita buat."

Saya juga tertarik dengan saranan di akhir video,"Semoga kita dapat belajar dari SEKOLAH RAMADHAN dan ikhlas pada Allah supaya meningkatkan amalan kita. Niat segalanya pada Allah dan bukan penghargaan manusia."

Video ini pula untuk hari yang kedua (Ramadhan 2: lima perkara):
Daripada video, lima perkara penting dalam kehidupan yang perlu diberi perhatian:

Perkara 1: Kesihatan fizikal;
Puasa menjadikan badan lebih sihat dengan fungsi hati yang akan mengeluarkan glikogen untuk memproses gula dalam badan yang tidak digunakan oleh badan selain pengambilan kalori yang rendah dan pemgambilan air yang banyak.

Perkara 2: Kesihatan minda;
Di bulan puasa, jauhi bahan bacaan negatif yang boleh merosakkan minda. Beliau mengandaikan hati kita ini sebagai taman. Jadi bajai "taman" ini dengan benda yang positif.

Perkara 3: Kerohanian
Hubungan kita dengan Allah boleh dipertingkatkan dengan meningkatkan amal ibadah, sembahyang di awal waktu dan sembahyang secara berjemaah.

Perkara 4: Hubungan
Tingkatkan tali silaturrahim dengan memberi makan pada jiran dan bersedekah kepada yang tidak berkemampuan.

Perkara 5: Kewangan
Jangan membazir apabila berbelanja di bulan ramadhan dan beli secara berpatutan.

Pada hari yang ketiga, perkongsian beliau diberi oleh video berikut:

Monday, August 1, 2011

puasa

Alhamdulillah, dengan izin-Nya kita dapat lagi merasa nikmat berada di bulan Ramadhan. Sambutan ramadhan tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sudah kerana saya tidak perlu mengajar semasa puasa.

Harapnya proposal untuk PhD dapat disiapkan dalam minggu ini... Insya-Allah.

Thursday, July 28, 2011

Beauty of Math

Beauty of Math!

x
1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876 
12345 x 8 + 5 = 98765 
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432 
123456789 x 8 + 9 = 987654321 

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111 
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111 
123456 x 9 + 7 = 1111111 
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

Brilliant, isn't it? 

And look at this symmetry: 

1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321 
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321 
111111111 x 111111111 = 12345678987654321 

Now, take a look at this...

101%

From a strictly mathematical viewpoint:

What Equals 100%? 
What does it mean to give MORE than 100%?

Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%? 

We have all been in situations where someone wants you to 
GIVE OVER 100%.

How about ACHIEVING 101%?


What equals 100% in life?

Here's a little mathematical formula that might help 
answer these questions:

If:

A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Is represented as: 

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.

If:

H-A-R-D-W-O-R- K 

8+1+18+4+23+15+18+11 = 98%

And:

K-N-O-W-L-E-D-G-E 

11+14+15+23+12+5+4+7+5 = 96% 

But:

A-T-T-I-T-U-D-E

1+20+20+9+20+21+4+5 = 100% 

THEN, look how far the love of God will take you:

L-O-V-E-O-F-G-O-D 

12+15+22+5+15+6+7+15+4 = 101%

Therefore, one can conclude with mathematical certainty that:

While Hard Work and Knowledge will get you close, and Attitude will 

Monday, July 25, 2011

komen pelajar

Semalam dah boleh check markah penilaian dalam e-spp. Apa itu e-spp? e-spp adalah sistem penilaian pengajaran bagi pensyarah di UMT. Biasanya pada minggu ke-14, pelajar akan membuat penilaian secara online terhadap pensyarah yang mengajar.

Memang banyak komen positif dan ucapan terima kasih yang diterima, Tetapi, dalam banyak-banyak komen, saya tertarik dengan komen berikut:

"Pembelajaran dalam bahasa melayu memudahkan pemahaman kepada saya. pada mulanya saya tidak bersetuju pengajaran dibuat dalam bahasa melayu, namun persepsi saya berubah setelah melaluinya.Terima kasih."

dan komen berikut:

"Salam puan..saya mencadangkan agar puan menggunakan nota dalam bahasa english..ini kerana kami telah diadaptasikan pembelajaran matematik dalam english sejak form 1 lg..lagipun ramai lecturer lain meggunakan english..ia akan menjadi susah apabila kami ingin mencari contoh soalan daripada sumber lain...pepun saya mengucapkan time kasih kerana mengajar saya......"

Isu bahasa memang akan dibangkitkan oleh para pelajar setiap semester. Saya memang mengendalikan subjek Biostatistik dalam Bahasa Melayu.  Nota, soalan tutorial semua dalam BM. Bagi saya, pelajar tidak sepatutnya menjadikan bahasa sebagai isu halangan untuk mereka menguasai sesuatu subjek terutamanya dalam menguasai ilmu matematik atau statistik.

Dalam matematik/statistik, amat penting untuk seseorang menguasai konsep matematik dengan baik. Apabila mereka faham sesuatu konsep dengan baik, mereka dapat menyelesaikan masalah dengan mudah. Sebagai contoh, apabila mereka belajar topik ujian hipotesis, mereka perlu memahami semua maklumat yang diberi oleh soalan sebelum menjalankan ujian hipotesis dan menggunakan ujian hipotesis yang sesuai. Saya dapati pelajar yang dapat menguasai ujian hipotesis adalah pelajar yang betul-betul faham dengan konsep di sebalik ujian hipotesis. Bila pelajar dah faham, mereka tiada masalah untuk menggunaka ujian yang sesuai sama ada mereka perlu menggunakan t-test, z-test atau ujian tak berparameter. Syarat utama ialah mesti FAHAM KONSEP.

Sebab  itu terdetik rasa terkilan dengan para pelajar yang menjadikan isu bahasa sebagai halangan untuk mereka memperolehi gred yang baik. Kalau diperhatikan kepada komen pelajar 1 dan komen pelajar 2, kedua-duanya merasa tak selesa bila saya perkenalkan bahasa melayu sebagai medium pengajaran untuk subjek Biostatistik pada awal semester. Tetapi, pelajar 1 sanggup berubah dan cuba membiasakan diri mempelajari Biostatik dalam bahasa melayu. Hasilnya, ia telah mengubah persepsi pelajar 1 di akhir semester kerana beliau telah berjaya memahami konsep Biostatistik walaupun diajar dalam bahasa melayu.

Berbeza dengan pelajar 2, dia seolah-olah menjadikan bahasa sebagai alasan. Untuk menyakinkan saya supaya mengajar dalam English, dia mula mengaitkan dengan kaedah pensyarah lain. Tak cukup dengan itu, bahasa juga dipersalahkan sebab dia tak dapat mencari contoh soalan yang sesuai untuk ulangkaji. Sepatutnya, dia menggunakan kelebihannya yang mahir dalam English untuk mencari bahan ulangkaji kerana banyak buku di library dan laman web yang boleh dijadikan sumber rujukan. Selain itu, Youtube juga boleh dijadikan sumber rujukan yang interaktif.

Sebagai pensyarah, memang susah untuk memuaskan hati kesemua 150 orang pelajar dalam sekelas. Apa yang saya boleh lakukan dalah sedaya upaya cuba mengoptimumkan pemahaman konsep dalam diri pelajar-pelajar saya.

Monday, April 25, 2011

Ruangan perkongsian

Bila dah ada blog, rasa mcm seronok pula. Selain boleh bertukar pendapat, dalam masa yang sama boleh menambah kenalan di alam maya. So, blog Kisah Anak-anakku saya akan khaskan untuk merekod perkembangan anak-anak dan mencatatkan aktiviti yang telah dilakukan sepanjang mereka membesar. Dalam blog ini pula, saya akan catatkan segala pengalaman, idea atau pendapat berkaitan dengan minat saya seperti review buku, keibubapaan, pengalaman lepas atau apa saja yang terjadi dalam hidup saya buat tatapan insan tersayang di suatu hari. Mungkin boleh dijadikan rujukan oleh anak-anak apabila mereka dah besar suatu hari nanti :)



Nur Bijen