Klik di sini....

Tuesday, November 29, 2011

Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur


Ini adalah tempat saya menjalani BTN pada 17-22 November 2011. Tempoh kursus selama 5 hari 4 malam dirasakan berlalu dengan pantas sekali. Kursus ini tidak lagi dipanggil kursus kenegaraan tetapi telah dijenamakan semula kepada "Program Transformasi Pegawai Ke Luar Negara (Master/PhD dan sub-Kepakaran)".

Modul baru yang digunakan, pada pendapat peribadi, saya sangat relevan. Dua hari pertama, slot wacana ilmu banyak membincangkan isu yang memberikan banyak manfaat kepada diri saya. Slot yang saya paling gemari ialah slot yang membincangkan budaya ilmu. Insya Allah, jika berkesempatan saya akan kongsikannya di blog ini pada catatan yang akan datang.

Dua hari yang seterusnya pula diisi dengan slot Diskusi iaitu melibatkan perbincangan dalam kumpulan atau lebih dikenali sebagai Latihan dalam kumpulan (LDK). Pengisian semasa LDK lebih menumpukan kepada isu-isu semasa dalam negara. Ia membuatkan saya sedar, Oh, banyak yang saya tidak tahu tentang apa sedang berlaku dalam Malaysia.

Hari yang terakhir pula adalah hari ujian. Soalan objektif sebanyak 60 soalan harus diselesaikan dalam masa satu jam 30 minit. Yang menariknya tentang ujian, ia adalah open book. Boleh buka buku semasa ujian. Ia berjaya membantu saya siapkan ujian dalam masa 50 minit.

Terasa sangat bertuah dapat mengikuti BTN di akademi ini. Selain daripada menu yang sedap setiap kali waktu makan, bilik penginapan juga sangat memuaskan. Setiap pegawai diberi satu bilik untuk setiap orang. Satu apartment mempunyai 3 bilik. Setiap aparment mempunyai dua tandas dan dua bilik air.

Tuesday, November 15, 2011

Ujian 1 MTK 3100

Ujian 1 telah diadakan pada 13 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis bertempat di Dewan Syed Jalaludin (DSJ). Sudah sebulan lebih Ujian 1 berlalu. Baru separuh skrip jawapan yang berjaya disemak. Akan cuba seboleh mungkin untuk menyiapkan proses penandaan sebelum menghadiri BTN pada hari Rabu ini.


Begitu tekun pelajar menjawab soalan. Untuk Ujian 1, masa yang diperuntukkan hanya 50 minit yang memberikan sebanyak 40 markah. 20% akan diambil untuk penilaian keseluruhan kursus.

Disebabkan bilangan pelajar yang ramai (195 org), agar sukar untuk mencari bilik yang besar untuk diadakan ujian dengan lebih selesa. Ditambah pula dengan faktor kekangan kelas yang sentiasa penuh di waktu malam, saya membuat keputusan untuk mengadakan ujian semasa waktu kuliah.

Disebabkan kapasiti dalam DSJ yang hanya boleh menampung sehingga 250 org pelajar, adalah tidak mencukupi untuk pelajar duduk selang satu kerusi bagi menjarakkan pelajar dan mengurangkan kebarangkalian pelajar MENIRU.

Jadi saya telah menyediakan dua set soalan yang berlainan dengan harapan pelajar akan mendapat soalan yang berbeza dengan rakan di sebelah kiri dan rakan di sebelah kanan. Namun, kelihatan juga suasana seperti berikut:
Pelajar masih lagi berbincang dengan rakan selang satu kerusi. Untuk Ujian 2, saya harus memikirkan strategi yang berlainan pula untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.

Sunday, November 13, 2011

By'u Restaurant

Restoren ni terletak bersebelahan pejabat. Berhampiran dengan bangunan Annex. Ia bukannya dibuka setiap hari. Hanya setiap hari Khamis sahaja dapat menjamu selera di sini. Dan eksklusif untuk bulan November dan Disember ini sahaja. Harga yang ditawarkan amatlah berpatutan.

Sebenarnya restoren ini adalah milik Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM), UMT. Ia adalah tempat latihan pelajar program makanan untuk memasak dan belajar tentang tatacara untuk menghidangkan makanan. Menu ala' carte yang disajikan sangat mengujakan. Juga lain dari yang lain. Khamis lepas, saya pesan menu berikut:
Golden pouch

Dragon fruit soda

dan Moist Chocolate Cake (tapi tak sempat nak snap gambar). Semuanya memang sangat enak. 

Lain kali nak cuba air ni pula...
Blended Tapai Lychee.... rasa masam tapai dan laici sangat harmoni untuk dinikmati. Kepada yang belum cuba, jom kita ke sana lagi pada hari Khamis ni :)

Wednesday, November 9, 2011

status: "KIV"

Sebenarnya saya dah dapat berita ni dua minggu lepas. Langsung tiada mood nak tulis dalam blog ni. Tapi bila ramai lagi rakan seperjuangan yang masih lagi bercuti sempena raya kurban, tiba-tiba mood untuk menulis datang menerjah.

Pertama kali dikhabarkan berita bahawa permohonan cuti belajar (CB) saya dalam status "KIV" - sebab belum hadiri BTN - rasa terkilan juga. Apa yang membuatkan saya terkilan adalah disebabkan pihak KPT hanya memaklumkan perkara tersebut selesai mesyuarat bulan Oktober. Kenapa tidak diberitahu sebaik sahaja pihak KPT menerima permohonan saya yang tidak lengkap itu?

Tetapi, saya cuba memujuk diri sendiri - mungin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Saya cuba minta pendapat daripada Urusetia CB. Tapi, memang dah tiada apa yang boleh dilakukan.

Kemudian saya cuba minta penjelasan dari pihak KPT dan telah mendapat email seperti berikut:
"Keputusan mesyuarat bil. 8 tahun 2011 telah membuat keputusan bahawa hanya pencalonan yang lengkap sahaja dibentangkan dan saya telah maklumkan kepada semua IPTA sejak bulan Ogos lagi."

Maka benarlah, ia merupakan polisi terbaru KPT. Saya terpaksa akur dengan keputusan. Sebelum ni, ramai rakan yang sedang CB menyarankan agar pergi ke BTN setelah mendapat kuota dari KPT. Kalau tak hanya membazir tenaga, dan  wang menghadiri BTN andaikata kuota tidak diberi untuk meyambung pengajian di luar negara.

Sekarang, saya harus menasihatkan staf yang ingin cuti belajar supaya menghadiri kursus BTN dahulu sebelum mengemukakan permohanan ke urusetia cuti belajar. Lepas lulus IELTS (sekurang-kurangnya band 6.5), mesti terus daftar untuk hadiri BTN. Saya juga telah mencadangkan agar pihak Pusat Teknologi Maklumat (PTM) menambahbaik sistem e-Cube dengan memasukkan BTN dalam senarai semak cuti belajar (agar tidak terlepas pandang keperluan BTN.)

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk staf yang sedang berkira-kira untuk menyambung pengajian di luar negara. Ingat, BTN adalah komponen yang sama penting dengan IELTS!  (^___^)

Tuesday, November 1, 2011

lagi lagu kegemaran :: UKAYS


Di dalam hidup kita seharian
Ada persamaan inginan
Mencari harta sebanyak mana
Masa terdaya

Bila mentari menyuluh bumi
Kita pun bangkit dari mimpi
Menyambung semula pencarian
Terhenti semalam

Kepuasan terpancar jelas
Bila yang dimimpi terbukti
Dengan kekayaan yang dimiliki
Masih tidak lagi mencukupi

Memang begitu sikap manusia
Tidak puas dengan yang ada
Seolah harta di dunia
Bisa bawa ke sana

Kita terlupa harta yang nak di bawa
Amalan seharian itu yang pasti harus di hati
Sudah terlewat bila tubuh terbujur kaku
Tidak berfungsi... di saat itulah
Terlihat semua di mana
Tempat kita...

Harus diingat... kita hanya musafir
Yang didatangkan... hanya sementara
Menghunikan alam
Dan pasti akan dijemput... untuk pulang
Di jemput pulang
Penuh dengan maksud tersirat. Amat indah bila dihayati dengan mata hati.

Ia mengingatkan saya kepada satu slot di ruangan IKIM oleh seorang ustaz  (maafkan saya, ustaz yang mana saya dah lupa). Beliau menyatakan ada dua benda yang manusia tidak akan cukup sampai bila-bila.

Pertama, AKAL. Ilmu yang kita ada baru setitik dari lautan ilmu di dunia ini. Oh, alangkah kerdilnya diri ini. Oleh itu, kita digalakkan untuk mencari ilmu sebanyak mungkin hinggakan ada pepatah menyebut, "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China".

Dalam dunia akademik, kita digalakkan untuk membanyak sebanyak mungkin penerbitan akademik. Kadang-kadang, semakin saya banyak membaca, semakin kerdil terasa diri. Maksudnya, banyak lagi benda yang saya tak tahu rupanya. Yang paling indah, ia menjadikan kita lebih dekat kepada Yang Maha Pencipta. Hanya  Dia Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Kedua, NAFSU. Kalau nak ikutkan nafsu ini, tentu sekali manusia akan tewas. Yang paling sedih adalah manusia yang tidak mampu menundukkan nafsunya. Dengan kata lain, manusia yang be'Raja'kan nafsu adalah sebenarnya manusia yang telah tewas oleh ujian dunia. Di sini kita harus bijak membezakan di antara keperluan atau keinginan.

Bila dah ada kereta, nak ada kereta yang lagi selesa. Bila dah ada jawatan, nak dapat jawatan yang lebih tinggi hingga sanggup menikam rakan sendiri dari belakang. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang tewas ini, Insya Allah.

"Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku seorang hamba yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan-Mu, Amin...".