Semalam dah boleh check markah penilaian dalam e-spp. Apa itu e-spp? e-spp adalah sistem penilaian pengajaran bagi pensyarah di UMT. Biasanya pada minggu ke-14, pelajar akan membuat penilaian secara online terhadap pensyarah yang mengajar.
Memang banyak komen positif dan ucapan terima kasih yang diterima, Tetapi, dalam banyak-banyak komen, saya tertarik dengan komen berikut:
"Pembelajaran dalam bahasa melayu memudahkan pemahaman kepada saya. pada mulanya saya tidak bersetuju pengajaran dibuat dalam bahasa melayu, namun persepsi saya berubah setelah melaluinya.Terima kasih."
dan komen berikut:
"Salam puan..saya mencadangkan agar puan menggunakan nota dalam bahasa english..ini kerana kami telah diadaptasikan pembelajaran matematik dalam english sejak form 1 lg..lagipun ramai lecturer lain meggunakan english..ia akan menjadi susah apabila kami ingin mencari contoh soalan daripada sumber lain...pepun saya mengucapkan time kasih kerana mengajar saya......"
Isu bahasa memang akan dibangkitkan oleh para pelajar setiap semester. Saya memang mengendalikan subjek Biostatistik dalam Bahasa Melayu. Nota, soalan tutorial semua dalam BM. Bagi saya, pelajar tidak sepatutnya menjadikan bahasa sebagai isu halangan untuk mereka menguasai sesuatu subjek terutamanya dalam menguasai ilmu matematik atau statistik.
Dalam matematik/statistik, amat penting untuk seseorang menguasai konsep matematik dengan baik. Apabila mereka faham sesuatu konsep dengan baik, mereka dapat menyelesaikan masalah dengan mudah. Sebagai contoh, apabila mereka belajar topik ujian hipotesis, mereka perlu memahami semua maklumat yang diberi oleh soalan sebelum menjalankan ujian hipotesis dan menggunakan ujian hipotesis yang sesuai. Saya dapati pelajar yang dapat menguasai ujian hipotesis adalah pelajar yang betul-betul faham dengan konsep di sebalik ujian hipotesis. Bila pelajar dah faham, mereka tiada masalah untuk menggunaka ujian yang sesuai sama ada mereka perlu menggunakan t-test, z-test atau ujian tak berparameter. Syarat utama ialah mesti FAHAM KONSEP.
Sebab itu terdetik rasa terkilan dengan para pelajar yang menjadikan isu bahasa sebagai halangan untuk mereka memperolehi gred yang baik. Kalau diperhatikan kepada komen pelajar 1 dan komen pelajar 2, kedua-duanya merasa tak selesa bila saya perkenalkan bahasa melayu sebagai medium pengajaran untuk subjek Biostatistik pada awal semester. Tetapi, pelajar 1 sanggup berubah dan cuba membiasakan diri mempelajari Biostatik dalam bahasa melayu. Hasilnya, ia telah mengubah persepsi pelajar 1 di akhir semester kerana beliau telah berjaya memahami konsep Biostatistik walaupun diajar dalam bahasa melayu.
Berbeza dengan pelajar 2, dia seolah-olah menjadikan bahasa sebagai alasan. Untuk menyakinkan saya supaya mengajar dalam English, dia mula mengaitkan dengan kaedah pensyarah lain. Tak cukup dengan itu, bahasa juga dipersalahkan sebab dia tak dapat mencari contoh soalan yang sesuai untuk ulangkaji. Sepatutnya, dia menggunakan kelebihannya yang mahir dalam English untuk mencari bahan ulangkaji kerana banyak buku di library dan laman web yang boleh dijadikan sumber rujukan. Selain itu, Youtube juga boleh dijadikan sumber rujukan yang interaktif.
Sebagai pensyarah, memang susah untuk memuaskan hati kesemua 150 orang pelajar dalam sekelas. Apa yang saya boleh lakukan dalah sedaya upaya cuba mengoptimumkan pemahaman konsep dalam diri pelajar-pelajar saya.
No comments:
Post a Comment