Klik di sini....

Wednesday, August 28, 2013

Beza solat Jamak dan Jamak Qasar

KESILAPAN SOLAT JAMAK QASAR: TAPI ANDA TIDAK PERASAN.

Menghadiri ‘conference’ dalam dan luar negara bukan perkara ganjil. Ramai yang pergi dan kembali, bahkan ramai yang berulang-alik ke pelbagai destinasi dengan niat mengembangkan ilmu. Ini perkara rutin bagi seorang researcher atau ahli akademik di universiti atau ‘research centre’. Tidak ketinggalan bagi yang suka melancong, musafir adalah perkara ‘ghalib’.

Sungguhpun setiap musafir dengan niat kerana Allah besar ganjaran pahalanya, namun harus ditelusuri feqah yang berkaitan dengan musafir tersebut, adakah bertepatan dengan syariah? Mungkin ramai yang tidak pernah mengambil kisah akan adab musafir mengikut sunnah. Amat rugi, jika kita tidak mengambil kepentingan dari perkara adab dan sunnah Rasul. Namun perkara sunat bukanlah ‘aula’ jika yang wajib masih terumbang-ambing. Antara sedar atau tidak, ramai yang melakukan kesalahan berulang akan hal yang wajib seperti SOLAT.

Walaupun isu solat jamak atau jamak qasar bukan lagi menjadi topik perbincangan mutakhir ini, namun saya melihat ianya masih lagi perlu diperhalusi kerana masih banyak salah faham yang berlaku. Malah, masalah ini seringkali berlegar-legar dalam kumpulan teman-teman yang bermusafir bersama saya. Tidak kira musafir ke tempat jauh atau dekat, isu solat tidak boleh dipandang remeh. 

Lihat situasi berikut:

Sehingga ke hari ini, masih ramai yang menganggap bahawa solat jamak qasar boleh dilakukan 3 hari pertama berada di sesuatu tempat. Sedangkan menduduki tempat melebihi 3 hari tidak lagi dikira musafir tetapi ‘bermukim’ (sudah gugur taraf musafir). Jadi, solat jamak qasar sama sekali tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai ke destinasi. Tiada nas yang membenarkan solat jamak qasar pada 3 hari pertama anda bermukim. Solat jamak qasar hanya ‘valid’ sepanjang perjalanan anda yang melebihi 89 km dan tidak ‘valid’ sebaik tiba di destinasi yang anda ingin duduki melebihi 3 hari. Sekali lagi diingatkan, jamak qasar selama 3 hari hanya dibenarkan untuk orang yang benar-benar singgah tidak melebihi tiga hari di sesuatu tempat.

Namun, anda masih diberi rukhsah untuk menjamakkan solat apabila berada dalam situasi yang sukar. Dan jamak ini dibenarkan sepanjang tempoh mukim atas sebab-sebab yang diizinkan syarak. Salah faham berlaku apabila kebanyakan kita tidak jelas akan perbezaan antara solat jamak qasar dan solat jamak. Mungkin silibus pendidikan Islam di peringkat sekolah perlu dikaji semula kerana belum mampu memberi kefahaman tentang masalah feqah yang paling utama ini. Ataupun ustaz ustazah perlu mengkaji kaedah pengajaran agar lebih berkesan dan dapat difahami oleh pelajar di sekolah.

Sedikit pencerahan tentang solat qasar dan solat jamak.

1) Solat Qasar

Sekiranya anda bermusafir ke sesuatu tempat yang perjalanannya melebihi dua marhalah atau 89 kilometer, maka diharuskan untuk mengqasarkan solat.

(Dua marhalah bersamaan empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 km.)

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” [an-Nisa’ : 101]

Bahkan dalam satu hadith Riwayat An-Nasa’i dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w mengharuskan para sahabat mengqasarkan solat walaupun bermusafir dalam keadaan aman.

Qasar adalah memendekkan solat, yang 4 kepada 2.

Syarat qasar :

1) Jarak perjalanan > 89 km

2) Bermusafir tidak melebihi 3 hari penuh (tidak termasuk hari berangkat dan pulang)

3) Sudah memulakan perjalanan dan keluar dari mukim atau kawasan kampungnya.

Apa bezanya solat qasar dan solat jamak?

2) Solat jamak

Pada asasnya, solat jamak tidak berkaitan secara langsung dengan solat qasar dan ianya boleh dilakukan atas pelbagai keperluan yang dibenarkan syarak. Solat jamak maksudnya menghimpunkan solat tanpa mengurangkan rakaat.

Perkara yang membolehkan jamak:

Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi r.a berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila terdapat suatu kepentingan, asalkan hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta pendapat yang dipilih oleh Ibnul Mundzir. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]

Dalam kitab feqah karangan Dr. Basri Ibrahim ada menjelaskan keharusan jamak kepada beberapa golongan yang memerlukan seperti sakit, ketakutan, pekerjaan yang punya maslahat kepada umat, bencana alam dan musafir. Bahkan syarat bagi musafir untuk menjamakkan solat tidak diwajibkan melebihi dua marhalah. Waima orang yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak mampu keluar dari situasi tersebut boleh berniat jamak, dan melaksanakan solat jamak ta’khir apabila sampai di rumah. Ini kerana solat jamak tidak terikat kepada syarat jarak perjalanan, musafir, bermukim dan keluar dari mukim.

2 Jenis solat jamak yang anda sedia maklum:

1. Jamak Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

Syarat jamak Taqdim :

1) Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

2) Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.

3) Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.

4) Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2. Jamak Ta’khir pula ialah mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

Syarat jamak Ta’khir :

1) Hendaklah berniat jamak ta’khir dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib. Tidak sah solat jamak ta’khir yang dilakukan akibat luput waktu solat, tanpa diniatkan sedari awal waktu solat yang pertama.

Jadi, apa perbezaan jamak qasar dan jamak?

Sangat berbeza kerana,

1. Jamak qasar bermaksud menghimpunkan dan memendekkan, manakala jamak bermaksud menghimpunkan sahaja.

2. Jamak qasar hanya dibenarkan bagi orang yang sedang bermusafir melebih 2 marhalah dan singgah tidak melebihi 3 hari penuh.

3. Jamak pula dibenarkan pada pelbagai keadaan mengikut keperluan yang syari’e.

Lihat situasi berikut :

Contoh 1: Ulama membincangkan masalah solat jamak sebelum memulakan perjalanan. Jumhur ulama berpendapat, boleh menjamakkan solat sebelum bertolak sekiranya dibimbangi berlaku kesukaran untuk solat dalam perjalanan. Pendapat ini berdasarkan hadith:

"Rasulullah saw menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah, pada masa itu tiada ketakutan dan tidak pula musafir, Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada Sa'ed (iaitu Ibn Jubair), Kenapa baginda melakukan begitu? Dia berkata, Aku telah bertanya Ibn 'Abbas soalan yang sama, dan dia berkata : Baginda tidak mahu sesiapa dikalangan umatnya menghadapi kesukaran" [Hadith Riwayat Muslim no. 705].

Tapi perlu diingat.. yang dibenarkan adalah solat JAMAK, bukan JAMAK QASAR.

Sekali lagi ditekankan bahawa jamak qasar hanya boleh dilakukan apabila anda sudah memulakan perjalanan dan keluar daripada mukim.

“Diantara syarat-syarat sah memendekkan (qasar) solat adalah hendaklah musafir melepasi pagar kampung (balad) yang dimulakan permusafirannya" [al-Fiqh al-Manhaji 1/187].

Contoh 2: Anda sudahpun dalam perjalanan pulang ke rumah. Akibat kesulitan sepanjang perjalanan pulang menyebabkan anda tidak mampu menunaikan solat dalam perjalanan. Sebagai contoh, jalan yang sangat 'jam' (musim perayaan) yang boleh menyebabkan terluput waktu solat. Maka dibolehkan anda jamak ta’khir di rumah. Sekali lagi ditegaskan, dibolehkan JAMAK, bukan JAMAK QASAR. Kerana jamak qasar tidak ‘valid’ apabila anda telah sampai di rumah.

Contoh 3: Apabila mengalami sebarang kesulitan di tempat anda bermukim (musafir yang melebihi 3 hari), maka dibolehkan jamak. Contoh kesulitan berbeza mengikut situasi. Berada di tempat asing memungkinkan kita berhadapan dengan pelbagai masalah. Hanya yang mengalaminya dapat merasakannya. Jangan tinggalkan solat, sebaliknya jamaklah pada sesetengah keadaan yang sulit. Allah telah memberi kelonggaran kepada hamba-hambanya pada setiap keadaan agar kita menjadi hamba yang sentiasa ta’at.

Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :

"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjamakkan dua solat jika ia menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran menjamakkan solat adalah LUAS berbanding dengan memendekkan solat, kerana memendek (qasar) solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jamak dibenarkan kepada musafir dan bukan musafir untuk menjamak solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat samaada pada waktunya atau didalam jemaah".

Dengan itu, jelas sekali ketetapan untuk solat tidak pernah gugur walaupun kita berada dalam kesulitan. Bahkan Allah telah memberi kemudahan untuk kita tetap ‘thabat’ di atas jalan-jalan orang yang abid.

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran"[al-Baqarah : 185]

"dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama" [al-Haj : 78]

_________________________________________________________________________________

Disclaimer Note : Setiap pendapat saya adalah bukan pendapat peribadi yang condong kepada mana-mana fahaman. Pangkal dalam setiap hukum syariat Islam adalah dalil dari al-Quran dan hadith. Telah berkata Imam Malik r.a, “mana-mana pendapat yang dilontarkan setiap muslim boleh diambil dan boleh ditolak, kecuali yang datang dari Muhammad s.a.w”. Jadi, sekiranya terdapat pendapat yang tersasar daripada dalil yang sahih, maka lakukan penolakan. Yusuf Qardhawi pernah mengingatkan bahawa setiap muslim adalah tawanan hujah yang kuat serta dalil yang sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi juga telah mengupas mengenai isu jamak dan qasar ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Allah Lebih Mengetahui.

ASMAH ALIAS. UiTM. AS 990, 9 Sept 2012, 22 Syawal 1433 H

Tuesday, August 20, 2013

Perjalanan PhD

Sangat terkesan dengan status ni dari salah seorang rakan di DSG (Doctorate Support Group) @FB.

Jadi saya tahu, bukan saya seorang yang rasa demikian.
Rasa mencabarnya buat PhD.
Rasa susahnya buat PhD.

Sebelum buat PhD, saya suka tanya pengalaman kawan-kawan yang dah dapat PhD.
Macam macam cerita dan pengalaman yang saya dapat.
Ada kawan kata, PhD tu susah.
Ada kawan kata, lalui dulu. Baru tahu macam mana rasa PhD tu.
Ada kawan kata, hidup mati semula pun, dia takkan buat PhD jika diberi pilihan.

Banyak yang menggambarkan betapa mencabarnya buat PhD.
Bila berada di pertengahan perjalanan PhD ni, kadang-kadang saya selalu tanya diri sendiri - boleh ker nak habiskan PhD ni?
Nak tak nak, kena teruskan jugak.
Mesti positif and keep on moving.

Kadang-kadang, rasa sangat keseorangan.
Bila buntu, takde orang yang kita boleh rujuk.
Penyelia pula cuma boleh bagi moral support.
Yang nak kena selesaikan masalah terletak pada bahu kita 100%.
Masa tu rasa diri sangat terkontang-kanting.
Hanya pada Allah tempat mengadu semoga terus diberi kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjuangan.
Doakan saya yer kawan-kawan.